Thursday, October 22, 2009

Pertembungan (Selepas 26 tahun buat Y)

Ketika kaumemandang aku berpaling
dan ketika kupandang kauberpaling
lantaran terlalu tajamnya
garis-garis yang menyelisihkan
dua persimpangan perjalanan
antara kau dan aku

Untuk sedetik sebelum saling berpaling
sempat hatiku menghampar kembali
saat-saat
mataku semerah inai di jarimu
ah… untuk apa kubongkarkan lagi
setelah sekian lamanya detik itu terbenam
amat dalam di petak-petak memori

namun..
tersua di ruang tak terjangka
amat beratnya
bagi kau dan aku
untuk mengukir
walau pun hanya secarik senyuman


Bilik Guru
22.10.2009

Thursday, October 1, 2009

Seekor Burung Kecil

Seekor burung kecil
melibaskan sayap ke pohon halban tua
meniti antara ranting-ranting berhinggut
memadailah kali ini
rezekinya hanya seekor kelekatu
yang kesiangan
buat menyambung hidup
sehari lagi

Seekor burung kecil
lengas matanya menghimpun harap
agar akan ada lagi
sang kelekatu kehilangan sayap
untuk diterbangkan ke sarang
di sana menanti
generasi
yang menganga-nganga
meminta agar perut diisi segera

1.10.2009
Dewan Blok F
SMK Sungkai